Pages


Friday, August 20, 2010

PSIKOLOGI WANITA SELEPAS BERSALIN.
~NUR HIDAYAH BINTI MAJELAN~
~204035~

     Wanita semasa proses melahirkan anak telah menggunakan keseluruhan tenaga yang ada bagi melahirkan anak dengan selamat. Hal ini memberi kesan dari aspek fizikal dan mental wanita tersebut setelah melahirkan,semasa tempoh berpantang dan keadaan setelah tamat tempoh berpantang.
    
Tekanan emosi yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dikenali sebagai 'penyakit angin meroyan'. Manakala, dalam istilah sains penyakit ini lebih dikenali sebagai 'postnatal depressions' yang berkaitan dengan kelakuan aneh akibat kesan emosi atau kejiwaan yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak. Penyakit ini juga sering dikaitkan dengan penyakit tekanan emosi terhadap wanita-wanita yang mengalaminya sewaktu atau selepas tempoh berpantang.
    
Antara tanda yang merujuk seseorang wanita itu menghadapi penyakit ini adalah dengan melihat kelakuannya yang sering kepenatan, mengalami kesukaran untuk tidur, kerap berasa ketegangan, berasa rendah diri terhadap orang sekeliling, sensitif dan cepat marah. Tanda-tanda lain dapat dilihat melalui sikap mereka yang suka bersendiri dan mudah berkhayal seolah-olah berada dalam alam fantasi.
    
Komplikasi hasil penyakit angin meroyan ini memberi impak yang besar terhadap wanita yang pernah melalui pengalaman semasa melahirkan dan turut mempengaruhi individu yang berhampiran dengannya. Mereka akan berasa runsing, kelihatan murung, tidak bermaya, dan berubah sikap daripada seorang yang periang kepada pendiam serta suka berkhayal yang adakalanya melampaui batas pemikiran individu normal.
    
Terdapat segolongan wanita yang tidak menyedari apa yang dialaminya adalah suatu penyakit. Malah, ada antara mereka yang tidak mengendahkan cara pengurusan diri yang betul untuk mengatasi penyakit ini. Oleh itu, wajarlah setiap wanita harus mengambil berat tentang penjagaan diri, fizikal dan mental kerana impak daripada penyakit ini akan memberi kesan yang berpanjangan dalam kehidupan seseorang wanita itu sekiranya langkah-langkah yang betul tidak dilakukan segera walaupun tempoh berpantang telah selesai. Hal ini seperti peribahasa 'Sediakan payung sebelum hujan'.
    
Cara mengatasi yang dapat dikongsikan antaranya ialah individu terdekat seperti suami haruslah berupaya untuk memahami keadaan isteri yang baru melahirkan anak. Mereka seharusnya tidak diganggu dengan perkara-perkara yang boleh mengancam kestabilan fizikal dan mental mereka. Selain itu, wanita yang baru melahirkan anak digalakkan untuk meminta bantuan sama ada dari ibu sendiri, ibu mertua ataupun individu yang berupaya membantu dalam menguruskan anak-anak yang masih kecil dan tugas menguruskan kerja-kerja rumah buat sementara waktu. Hal ini bertujuan agar ibu yang baru melahirkan memperoleh rehat yang secukupnya di samping mengumpul semula tenaga yang hilang semasa proses melahirkan berlangsung. Malahan, bagi wanita yang baru melahirkan yang berasa tertekan juga digalakkan supaya meluahkan perasaan tersebut yang boleh memanjangkan tekanan sedia ada. Cara termudah yang boleh dipraktik ialah dengan menangis agar perasaan kurang enak yang terbuku dalam hati dapat dikeluarkan. Mereka juga boleh meluahkan perasaan kepada individu terdekat mahupun mendapatkan khidmat pakar kaunseling yang bertauliah. Janganlah pula kerana sikap sambil lewa, dan tidak mengambil kisah tentang penjagaan kesihatan yang betul akan membawa kesan buruk kepada diri sendiri kelak seperti peribahasa 'Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna'......

0 comments:

Post a Comment