Pages

Sunday, August 15, 2010

RAWATAN SEMASA BERPANTANG

BERTUNGKU (NORNAIMIE BINTI ABDULLAH)(204060)

Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap rasanya berpantang sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada berat tungku itu tetapi pada tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam badan.


Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 hingga 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada, maka daun sirih atau nama saintifiknya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas daripada tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.


Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan di sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari atau bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk kesan tungku yang lebih baik, tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.


Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kalanya diteruskan sehingga keluar darah terakhir yang berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika para ibu rajin bertungku ia boleh diteruskan sehingga habis tempoh berpantang.



BERURUT(JAOW AI LI) ~206832~

Berurut juga merupakan amalan penting ketika berpantang. Ia hendaklah dilakukan pada setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Rawatan berurut ini hendaklah dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman. Amalan tersebut seeloknya dilakukan seminggu selepas bersalin iaitu selama tiga hari berturut-turut. Bagi ibu yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung tempoh pantang iaitu pada hari ke-42, ke-43 dan ke-44 diikuti pada hari ke-60 dan ke-100 selepas berpantang.


Sebaik-baiknya urutan dimulakan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam. Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.


Urut hendaklah dilakukan menggunakan minyak. Kini terdapat pelbagai minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi. Namun kita juga boleh membuat sendiri minyak urut.


BERTANGAS  (NORNAIMIE BINTI ABDULLAH  204060)

Bertangas dilakukan selepas mandi. Amalan ini penting supaya luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga akan lebih cepat kering dan ketat, mengecutkan rahim serta otot-otot yang kembang dan akan mengelakkan daripada berlakunya proplase ( keluar tombong ). Pelbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.

Ramuan tangas:
• • 9 keping asam gelugur
• • 2 camca besar garam jantan
• • 3 helai daun sirih ( Piper betel )
• • segenggam inai ( Lawsonia terma )
• • halia sebesar ibu jari ( Zingiber officinale )
• • 3 biji manjakani

Cara-caranya :
Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, ia hendaklah dilakukan selama dua atau tiga kali sehari sehingga 44 hari. Air yang sudah sejuk tidak perlu dibuang, sebaik-baiknya dijadikan sebagai pencuci bahagian sulit.


BERTASAK (ROSMINA BINTI GIBSON) (204081)



Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan. Sebaiknya ia dimulakan seminggu selepas bersalin. Bertasak hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.Dalam tempoh tiga hari, bahan berlainan akan digunakan. Caranya, bahan-bahan tersebut ditumbuk sehingga lumat dan dicampurkan dengan setengah cawan air, kemudian ditapis dan seterusnya diminum.


Pada hari pertama hingga ketiga, segenggam daun inai iaitu lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum akan digunakan. Seterusnya pada hari keempat hingga keenam pula gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan. Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan, bahan yang digunakan ialah 5 cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.


MANDI(ROSMINA BINTI GIBSON)(204081)

Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.


MANDI DEDAUN


Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Seboleh-sebolehnya sepanjang tempoh berpantang mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya diamalkan selama dua minggu.


Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang,antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo ), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu ( Morinda citrifolia ) dan rempah halba. Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau lebih mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.


Berikut ialah contoh-contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi :-
• • 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
• • 10 helai daun limau purut
• • 6 batang daun serai bersama serai
• • halia muda sebesar 4 kali ibu jari
• • 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
• • 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
• • seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
• • segenggam halba ( dipunjutkan )


CARA MENYEDIAKAN AIR MANDI


Ambil periuk tanah ukuran sederhana. Sediakan bahan-bahan di atas. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana. Masukkan halba yang dipunjutkan. Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air suam-suam kuku sahaja.


Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua. Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari kaki kanan dahulu diikuti kaki kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri. Adalah penting memulakan jirusan pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah diikuti keseluruhan badan.


Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit. Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot di samping menghalang air dari masuk ke dalam badan. Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.


MANDI LULUR


Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri Raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit. Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong,daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.


Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal. Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita. Kebanyakan ramuan mandian yang digunkan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.

1 comments:

Jehan said...

mungkin kalau sis buat youtube video dalam BI dapat banyak view.

Post a Comment