Pages

Monday, August 23, 2010

MAKANAN SEMASA BERPANTANG
(NUR ATIQAH BINTI MOHD FAUZI  204063)



Semasa berpantang, ada sesetengah makanan yang tidak boleh dijamah oleh ibu. Namun, makanan tersebut perlu diganti dengan makanan yang mengandungi zat yang sama supaya para ibu mendapat diet yang seimbang.
Wanita yang bergelar ibu dinasihatkan supaya  mungkin dinasihatkan untuk mengambil makanan berkhasiat terutama yang mengandungi protein dan zat besi seperti daging tanpa lemak, daging lembu, ayam dan telur.
Perlu diingatkan bahawa telur mentah atau kurang masak seperti telur separuh masak yang sangat digemari di negara kita mesti dielakkan kerana ia mungkin mengandungi bakteria salmonela. Bukan itu sahaja daging perlulah dipastikan betul-betul masak dan tiada bahagian yang berwarna merah jambu atau merah. Pastikan airnya jernih, terutama apabila dipanggang atau menjadi sebahagian daripada makanan yang sedia dihidangkan manakala ketika berada di restoran, pesan supaya daging dimasak sepenuhnya dan elakkan ikan dan daging mentah seperti sushi dan ‘yee sang’.


DIET KHAS
Diet masyarakat Cina – Anda perlu makan pelbagai makanan yang ‘memanaskan’ badan. Ini termasuklah halia dan tonik tradisional yang dimasak dengan herba. Makanan yang disediakan dengan bahan itu dipercayai dapat memperbaiki pengaliran darah dan menguatkan sendi.
Diet masyarakat Melayu – Anda akan digalakkan memakan ikan segar seperti ikan haruan untuk menyembuhkan bahagian dalaman badan. Sesetengah ikan seperti ikan kembung dan lain-lain makanan laut seperti kerang, udang dan kerang mesti dielakkan kerana ia boleh menyebabkan alahan dan kegatalan.
Diet masyarakat India – Sesetengah sayuran jenis labu seperti lauki dan tori dipercayai dapat meningkatkan pengeluaran susu. Daun sirih juga dapat membantu dalam penyusuan.


MAKANAN BERKHASIAT

Jika merawat diri tetapi tidak berpantang semasa makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal bersalin eloklah memakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok untuk dimakan. Menurut pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang.Tetapi sejauh mana kebenaran hal ini masih belum dapat dipastikan lagi. Namun perkara yang jelas ialah mengamalkan pantang semasa makan selepas bersalin akan membuatkan kaum ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.

Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu untuk ibu-ibu bersalin, antaranya dengan cara pemasakan yang berbeza, misalnya dipanggang, direbus atau dikukus.

Sementara itu lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah perisa-perisa yang dapat membangkitkan selera makan kaum ibu. Selain itu, ulam-ulaman seperti pegaga (Centella Asiatica), kunyit (Curcuma Domestica), halia (Zingiber Officinale), cekur (Kaempferia Galanga), mengkudu (Morinda Citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan mereka di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang. Menurut orang-orang tua, buah mengkudu (Morinda Citrifolia) jika dimakan mentah-mentah ianya mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu. Cara memakannya ialah dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar.
Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau dalam bahasa saintifiknya 'Flatulence' boleh didefinisikan sebagai situasi di mana seseorang berasa sangat kenyang. Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik & Dietari di Institut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu, makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin. Masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu dengan individu yang lain.



MINUM AIR AKAR KAYU DAN JAMU


Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan meminum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu dapat menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran kaum ibu sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dalaman kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.


Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri. Caranya, tekan ibu jari kaki kanan dengan ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk mengampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat sebanyak tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut agar perut tidak buncit. Minum secara senafas agar tidak terasa mual.







JENIS-JENIS MAKANAN SEMASA BERPANTANG (SHAMIMI BT OTHMAN  204232)
Makanan selepas bersalin terbahagi kepada empat iaitu :


• Jenis ikan
• Ulam-ulaman
• Sayur dan buah-buahan
• Jenis ayam dan burung


JENIS IKAN
Ibu selepas bersalin tidak digalakkan makan ikan masin atau ikan kering. Ibu didalam pantang disyorkan memakan ikan segar dan mengelakkan daripada memakan ikan yang berbisa seperti bawal, ikan terubuk, ikan pari serta ikan sembilang. Hal ini kerana boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Mengikut petua melayu, ikan haruan dan yu baik untuk orang lepas bersalin, ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan dapat menyembuh luka. Manakala ikan yu dapat membanyakkan susu ibu.


ULAM-ULAMAN
Ulam-ulaman yang baik untuk ibu selepas bersalin seperti serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, pegagar, ulam raja dan lain-lain. Ulam ini baik untuk ibu dalam pantang kerana ia mengandungi fiber, zat galian (mineral), dan pelbagai vitamin termasuklah vitamin A, C, dan E bersifat antioksidan.


SAYUR DAN BUAH-BUAHAN
Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran yang menjalar, sejuk, serta berangin. Contohnya air tebu, cincau, kelapa muda, nenas, jambu, belimbing, durian belanda dan lain-lain. Hal ini kerana akan mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.

JENIS AYAM DAN BURUNG
Ibu dalam berpantang digalakkan makan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam dan madu lebah. Hal ini kerana dapat mengembalikan ketahanan tubuh. Manakala burung puyuh dan merpati baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.




























PENJAGAAN BAYI SELEPAS BERSALIN
(SITI AMINAH BT HUSIN  204409)




PENYUSUAN SUSU IBU

Penyusuan susu ibu memerlukan persediaan sejak dari awal lagi khususnya sejak ibu mula mengandung. Jika ibu mengalami sebarang masalah kekurangan zat pemakanan, keadaan ini boleh menjejaskan atau mengganggu proses penyusuan. Penting bagi ibu mendapatkan sumber zat protein yang mencukupi, vitamin serta zat logam khususnya zat besi kerana zat pemakanan ini akan masuk ke dalam air susu bagi memenuhi keperluan bayi.

Bagi ibu yang melahirkan anak sulung,proses penyusuan adalah satu pengalaman yang baru. Pada waktu ini sesetengah wanita mengeluarkan air jernih bukan susu yang di gelar colostrums. Ini juga mengandungi khasiat pemakanan yang baik untuk bayi. Pada hari pertama dan berikutnya jika susu ibu tidak mencukupi,bayi boleh diberikan susu botol. Namun begitu, ibu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut.




MEMBEDUNG PERUT BAYI


 
• Membantu bayi anda tidur dengan lena dan tidak mudah terkejut dengan bunyi bising. Perlu diingat, bayi yang baru lahir perlukan sekitar 12 jam waktu tidur yang berkualiti untuk tumbesaran yang sihat.

• Mengelakkan bayi anda berjalan mengekang apabila dewasa kelak.

• Membantu bayi anda merasa selamat seperti berada di dalam perut ibunya.

• Supaya bayi anda tidur dengan lurus dan tidak meringkuk. Ini seterusnya membantu menegakkan dan menguatkan otot dan tulang bayi anda.

• Memastikan bayi anda tidak mencakar atau menggaru muka dan badannya. Ialah, bayi masih belum peka deria sakitnya. Bayi akan menggaru sehingga kulit melecet dengan teruk.



MEMBALUT PERUT BAYI
 
• Mengelakkan kembung perut

• Melindungi sisa tali pusat dari digigit serangga.

• Mengelakkan sisa tali pusat tertanggal secara kasar. Jika, dilindungi barut, sisa tali pusat akan mudah tanggal dengan sendiri tanpa menyakiti bayi.



PETUA PENJAGAAN BAYI

 PETUA MENGURANGKAN CIRIT- BIRIT
• Cirit-birit biasanya berlaku pada bayi yang diberikan susu formula.Keadaan ini terjadi kerana bayi alah kepada susu lembu atau botol susu yang kurang bersih.
• Petua merawat masalah cirit-birit dalam kalangan bayi ialah dengan menukar susu formula kepada susu yang berasaskan soya kerana ia lebih lembut dengan perut bayi.


PETUA MENGURANGKAN SELSEMA PADA BAYI
• Ambil kunyit hidup dan gesekkan dengan kapur makan kemudian sapu pada sepanjang batang hidung bayi.
• Gunakan madu kerana madu boleh mengeringkan kahak.Caranya ialah dengan mencampurkan madu dalam susu bayi atau beri mereka minum madu setiap hari.


 



AMALAN DAN HALANGAN
(NUR ATIQAH BINTI MOHD FAUZI 204063)


Perkara yang dihalang oleh masyarakat Cina ketika berpantang termasuklah mencuci rambut dan elakkan daripada terdedah kepada elemen sejuk seperti air sejuk atau suhu rendah daripada pendingin hawa atau kipas angin, dan mandi hanyalah dengan air suam berserta herba yang disediakan khas.


Semua larangan itu membantu memastikan badan anda mengekalkan sebanyak haba yang boleh dan dipercayai akan membantu anda mengelakkan masalah kesihatan pada kemudian hari seperti reumatisme, artritis, sakit kepala dan sakit badan.


Pada masa sama, orang Melayu selalunya mendapatkan tukang urut untuk mengurut badan dan membalut perut dengan kain panjang atau bengkung. Mereka juga menggunakan batu panas atau bertungku pada perut mereka untuk menaikkan rahim.


Amalan itu dipercayai dapat membantu rahim mengecut dengan cepat dan membuang ‘angin’ atau sebarang kekotoran yang tertinggal di dalam rahim serta membantu mengembalikan semula susuk tubuh seperti sebelum mengandung dengan lebih cepat.


Wanita India perlu mandi sekali dengan air herba dan berurut setiap hari dengan campuran minyak khusus, seperti minyak biji sawi yang dipercayai membantu menenangkan dan pulih seperti sedia kala dengan lebih cepat.







TEMPOH BERPANTANG
(NUR ATIQAH BINTI MOHD FAUZI 204063)


Bagi masyarakat Cina, tempoh berpantang biasanya selama satu bulan mulai dari tarikh kelahiran bayi. Wanita Melayu lazimnya mempunyai tempoh pantang selama 40 hingga 44 hari. Bagi wanita India pula, tempohnya berbeza dari 30 hingga 40 hari – bergantung kepada daerah asal keluarga di India.


Bagi semua bangsa, tempoh pantang itu ialah masa untuk wanita berehat dan mengelakkan sebarang kerja fizikal. Sepanjang tempoh itu, seks tidak dibenarkan kerana mereka dianggap sebagai belum pulih sepenuhnya. Mereka dikehendaki tinggal di dalam rumah ketika tempoh pantang itu, maka ada kalanya amat membosankan!
BAGAIMANA MEREKA BERPANTANG?
(MARIAM BT ALANG-193755)

Sedangkan haiwan tahu bagaimana untuk sayang akan anaknya, Inikan pula manusia yang telah dianugerahkan akal fikiran. Sebaik-baik ciptaan oleh ALLAH
Isu TERAMAT kejam ini, bukan untuk mengaib kan mana-mana pihak, selain ingin menjadi salah satu masyarakat yang berani tampil untuk mengatakan SAYA BENCI KAMU YANG BUANG BAYI...!!! Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Walaupun dengan mengeluarkan sejuta cerita-cerita seperti ini, masih tidak membantu untuk mengurangkan jenayah ini, tetapi sekurangnya-kurangnya kita ada inisiatif untuk beringat sesama manusia.

Cuba kita lihat beberapa keratan gambar yang saya ambil dari web berkaitan kes buang bayi. cuba kita bayangkan betapa manusia seperti ini yang sanggup mengorbankan satu nyawa dari darah daging mereka sendiri hanya untuk menutupi kesalahan sendiri. Tiadakah secebis kasih di hati mereka sehingga sanggup bertindak sejauh ini??

Sedih? geram? marah? Ya, itu lah sekarang dalam hati kita. walau apa pun perasaan kita, satu yang pasti kita setuju bersama. Manusia seperti ini yang sanggup membuang bayi adalah manusia yang jauh lebih teruk daripada binatang!!.
Siapa yang harus kita persalahkan?? si perempuan?? si lelaki?? masyarakat?? pihak berkuasa?? ibu-bapa dan keluarga?? sapa lagi??... Mana perginya pendidikan yang di tuntut dari sekolah rendah? Mana perginya badan-badan agama yang bertanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat? atau sebenarnya kita yang membutakan mata, pekakkan telinga dan membutakan hati kita sehingga sanggup melakukan perkara terkutuk tersebut??
Persoalan yang timbul kini. Bagaimanakah cara wanita-wanita ini berpantang. Tidak takutkah mereka kesan-kesan daripada tidak mengamalkan amalan berpantang.

Friday, August 20, 2010

PAKAIAN SEMASA BERPANTANG
(CHING SU FENG) ~206780~


Aspek pakaian juga termasuk dalam amalan semasa berpantang selepas bersalin. Pemakaian baju tebal dan stoking adalah perlu untuk menjaga badan dan kaki supaya tidak sejuk dan masuk angin.



Selain itu, penggunaan bengkung atau barut juga perlu terutama untuk ibu yang bersalin normal bagi mengelakkan angin sejuk masuk di liang-liang perut. Ikatan barut yang sempurna akan dapat memudahkan pengeluaran angin panas dan kotor dalam badan. 




PEMAKAIAN BENGKUNG
Sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel (ubat barut) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan keadaan kulit perut.


Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut :-
• • segenggam jadam (diperbuat dari kayu gaharu
     atau lidah buaya)
• • halia (Zingiber Officinale) sebesar ibu jari
• • isi kunyit terus sebesar ibu jari
• • tiga ulas bawang putih (Allium Sativum)
• • asam jawa (Tamarindus Indica) sebesar bola
     pingpong
• • secawan air kosong
• • periuk tembikar dan sudip



Cara membuatnya:
Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campurkan dengan perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga menggelegak.



Cara menyapu jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu, sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya pakailah bengkung supaya lebih kemas. 



Bengkung perlu diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara. Hal ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung.
PSIKOLOGI WANITA SELEPAS BERSALIN.
~NUR HIDAYAH BINTI MAJELAN~
~204035~

     Wanita semasa proses melahirkan anak telah menggunakan keseluruhan tenaga yang ada bagi melahirkan anak dengan selamat. Hal ini memberi kesan dari aspek fizikal dan mental wanita tersebut setelah melahirkan,semasa tempoh berpantang dan keadaan setelah tamat tempoh berpantang.
    
Tekanan emosi yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dikenali sebagai 'penyakit angin meroyan'. Manakala, dalam istilah sains penyakit ini lebih dikenali sebagai 'postnatal depressions' yang berkaitan dengan kelakuan aneh akibat kesan emosi atau kejiwaan yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak. Penyakit ini juga sering dikaitkan dengan penyakit tekanan emosi terhadap wanita-wanita yang mengalaminya sewaktu atau selepas tempoh berpantang.
    
Antara tanda yang merujuk seseorang wanita itu menghadapi penyakit ini adalah dengan melihat kelakuannya yang sering kepenatan, mengalami kesukaran untuk tidur, kerap berasa ketegangan, berasa rendah diri terhadap orang sekeliling, sensitif dan cepat marah. Tanda-tanda lain dapat dilihat melalui sikap mereka yang suka bersendiri dan mudah berkhayal seolah-olah berada dalam alam fantasi.
    
Komplikasi hasil penyakit angin meroyan ini memberi impak yang besar terhadap wanita yang pernah melalui pengalaman semasa melahirkan dan turut mempengaruhi individu yang berhampiran dengannya. Mereka akan berasa runsing, kelihatan murung, tidak bermaya, dan berubah sikap daripada seorang yang periang kepada pendiam serta suka berkhayal yang adakalanya melampaui batas pemikiran individu normal.
    
Terdapat segolongan wanita yang tidak menyedari apa yang dialaminya adalah suatu penyakit. Malah, ada antara mereka yang tidak mengendahkan cara pengurusan diri yang betul untuk mengatasi penyakit ini. Oleh itu, wajarlah setiap wanita harus mengambil berat tentang penjagaan diri, fizikal dan mental kerana impak daripada penyakit ini akan memberi kesan yang berpanjangan dalam kehidupan seseorang wanita itu sekiranya langkah-langkah yang betul tidak dilakukan segera walaupun tempoh berpantang telah selesai. Hal ini seperti peribahasa 'Sediakan payung sebelum hujan'.
    
Cara mengatasi yang dapat dikongsikan antaranya ialah individu terdekat seperti suami haruslah berupaya untuk memahami keadaan isteri yang baru melahirkan anak. Mereka seharusnya tidak diganggu dengan perkara-perkara yang boleh mengancam kestabilan fizikal dan mental mereka. Selain itu, wanita yang baru melahirkan anak digalakkan untuk meminta bantuan sama ada dari ibu sendiri, ibu mertua ataupun individu yang berupaya membantu dalam menguruskan anak-anak yang masih kecil dan tugas menguruskan kerja-kerja rumah buat sementara waktu. Hal ini bertujuan agar ibu yang baru melahirkan memperoleh rehat yang secukupnya di samping mengumpul semula tenaga yang hilang semasa proses melahirkan berlangsung. Malahan, bagi wanita yang baru melahirkan yang berasa tertekan juga digalakkan supaya meluahkan perasaan tersebut yang boleh memanjangkan tekanan sedia ada. Cara termudah yang boleh dipraktik ialah dengan menangis agar perasaan kurang enak yang terbuku dalam hati dapat dikeluarkan. Mereka juga boleh meluahkan perasaan kepada individu terdekat mahupun mendapatkan khidmat pakar kaunseling yang bertauliah. Janganlah pula kerana sikap sambil lewa, dan tidak mengambil kisah tentang penjagaan kesihatan yang betul akan membawa kesan buruk kepada diri sendiri kelak seperti peribahasa 'Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna'......

Sunday, August 15, 2010

RAWATAN SEMASA BERPANTANG

BERTUNGKU (NORNAIMIE BINTI ABDULLAH)(204060)

Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap rasanya berpantang sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada berat tungku itu tetapi pada tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam badan.


Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 hingga 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada, maka daun sirih atau nama saintifiknya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas daripada tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.


Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan di sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari atau bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk kesan tungku yang lebih baik, tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.


Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kalanya diteruskan sehingga keluar darah terakhir yang berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika para ibu rajin bertungku ia boleh diteruskan sehingga habis tempoh berpantang.



BERURUT(JAOW AI LI) ~206832~

Berurut juga merupakan amalan penting ketika berpantang. Ia hendaklah dilakukan pada setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Rawatan berurut ini hendaklah dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman. Amalan tersebut seeloknya dilakukan seminggu selepas bersalin iaitu selama tiga hari berturut-turut. Bagi ibu yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung tempoh pantang iaitu pada hari ke-42, ke-43 dan ke-44 diikuti pada hari ke-60 dan ke-100 selepas berpantang.


Sebaik-baiknya urutan dimulakan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam. Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.


Urut hendaklah dilakukan menggunakan minyak. Kini terdapat pelbagai minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi. Namun kita juga boleh membuat sendiri minyak urut.


BERTANGAS  (NORNAIMIE BINTI ABDULLAH  204060)

Bertangas dilakukan selepas mandi. Amalan ini penting supaya luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga akan lebih cepat kering dan ketat, mengecutkan rahim serta otot-otot yang kembang dan akan mengelakkan daripada berlakunya proplase ( keluar tombong ). Pelbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.

Ramuan tangas:
• • 9 keping asam gelugur
• • 2 camca besar garam jantan
• • 3 helai daun sirih ( Piper betel )
• • segenggam inai ( Lawsonia terma )
• • halia sebesar ibu jari ( Zingiber officinale )
• • 3 biji manjakani

Cara-caranya :
Rebus semua bahan bersama air sehingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, ia hendaklah dilakukan selama dua atau tiga kali sehari sehingga 44 hari. Air yang sudah sejuk tidak perlu dibuang, sebaik-baiknya dijadikan sebagai pencuci bahagian sulit.


BERTASAK (ROSMINA BINTI GIBSON) (204081)



Bertasak penting untuk memulihkan semula otot perut seperti sebelum melahirkan. Sebaiknya ia dimulakan seminggu selepas bersalin. Bertasak hendaklah dilakukan sembilan hari berturut-turut, dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.Dalam tempoh tiga hari, bahan berlainan akan digunakan. Caranya, bahan-bahan tersebut ditumbuk sehingga lumat dan dicampurkan dengan setengah cawan air, kemudian ditapis dan seterusnya diminum.


Pada hari pertama hingga ketiga, segenggam daun inai iaitu lawsonia terma, garam jantan (secukup rasa) dan 1/2 camca teh lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum akan digunakan. Seterusnya pada hari keempat hingga keenam pula gunakan segenggam daun senduduk yang dikenali dengan nama Melastoma malabathricum dan garam jantan. Sementara pada hari ketujuh hingga kesembilan, bahan yang digunakan ialah 5 cm kunyit iaitu Curcuma domestica, garam jantan dan 1/2 camca teh Piper nigrum.


MANDI(ROSMINA BINTI GIBSON)(204081)

Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.


MANDI DEDAUN


Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Seboleh-sebolehnya sepanjang tempoh berpantang mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya diamalkan selama dua minggu.


Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang,antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo ), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu ( Morinda citrifolia ) dan rempah halba. Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau lebih mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.


Berikut ialah contoh-contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi :-
• • 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
• • 10 helai daun limau purut
• • 6 batang daun serai bersama serai
• • halia muda sebesar 4 kali ibu jari
• • 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
• • 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
• • seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
• • segenggam halba ( dipunjutkan )


CARA MENYEDIAKAN AIR MANDI


Ambil periuk tanah ukuran sederhana. Sediakan bahan-bahan di atas. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana. Masukkan halba yang dipunjutkan. Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air suam-suam kuku sahaja.


Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua. Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari kaki kanan dahulu diikuti kaki kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri. Adalah penting memulakan jirusan pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah diikuti keseluruhan badan.


Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit. Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot di samping menghalang air dari masuk ke dalam badan. Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.


MANDI LULUR


Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri Raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit. Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong,daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.


Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal. Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita. Kebanyakan ramuan mandian yang digunkan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.
RAWATAN TRADISIONAL
(SITI AMINAH BT HUSSIN ~204409~)

Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang. Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.

Misalnya cara wanita Kelantan mungkin berbeza dengan orang utara. Begitu juga ibu berketurunan Jawa, Arab, Cina atau India berbeza petua dan rahsia yang menjadi amalan mereka. Walau apa jua cara yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu ingin menyembuhkan luka dan kesakitan ibu ketika bersalin dan selepas bersalin.

Banyak perkara misteri yang masih belum terhurai dan terjawab tentang rawatan selepas bersalin secara tradisi Melayu warisan pusaka. Apa lagi kalau hendak dihuraikan secara saintifik kerana masih belum ada penyelidikan dijalankan untuk membuktikan kebaikannya terhadap kaum wanita. Namun kita sedia maklum akan khasiat herba dalam mengubati beberapa penyakit seperti akar Tongkat Ali atau nama sainsnya Eurycoma longfolia, Bunga Pakma dikenali juga sebagai Rafflesia, Kacip Fatimah iaitu Labisia pumila dan lain-lain lagi.

Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu. Antara rawatan tersebut adalah bertungku,
berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.
PENGENALAN (LIM PEI FERN 204461)

Menanti detik kelahiran adalah suatu yang mendebarkan bagi ibu2, terutamanya bagi mereka yang melahirkan anak yang pertama. Tempoh sembilan bulan dilalui dengan penuh harapan dan ketabahan. Bayi di dalam kandungan diberi perhatian sewajarnya semoga cahaya mata yang dilahirkan membawa sinar kebahagiaan.

Detik kelahiran yang tiba ditempuh dengan tabah. Tangisan pertama yang kedengaran bagaikan memberi semangat, apalagi apabila si comel yang didakap buat pertama kalinya lena dalam pelukan. Terasa mengalir perasaan keibuan dan kasih sayang yang melimpah untuk si comel.

Selamat melahirkan, bagi ibu-ibu muda tempoh berpantang merupakan satu pengalaman baru. Badan harus dirawat agar apabila tamat tempoh berpantang, anda tetap kelihatan segar seperti sebelumnya. Berpantang merupakan tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin kerana menunuggu selama 44 hari ibarat bertahun lamanya. Namun bagi mereka yang tahu akan rahsia berpantang, saat ini dipergunakan semaksima mungkin untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan diri luar dan dalam.

Amalan yang diwarisi daripada nenek moyang tidak sukar dilakukan, malah dedaun dan herba yang digunakan bagi tujuan rawatan, kini boleh dibeli di pasar harian. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan dedaun, rempah-ratus dan herba untuk tujuan rawatan sendiri, mereka boleh mendapatkan set bersalin lengkap yang sedia dijual di pasaran. Kini terdapat pelbagai gedung kecantikan yang menjual dan menawarkan rawatan kecantikan khas bagi ibu bersalin seperrti Mustika Ratu, Lia Sari, Sari Ayu, Nona Roguy dan banyak lagi.