Pages


Friday, August 20, 2010

PAKAIAN SEMASA BERPANTANG
(CHING SU FENG) ~206780~


Aspek pakaian juga termasuk dalam amalan semasa berpantang selepas bersalin. Pemakaian baju tebal dan stoking adalah perlu untuk menjaga badan dan kaki supaya tidak sejuk dan masuk angin.



Selain itu, penggunaan bengkung atau barut juga perlu terutama untuk ibu yang bersalin normal bagi mengelakkan angin sejuk masuk di liang-liang perut. Ikatan barut yang sempurna akan dapat memudahkan pengeluaran angin panas dan kotor dalam badan. 




PEMAKAIAN BENGKUNG
Sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel (ubat barut) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan keadaan kulit perut.


Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut :-
• • segenggam jadam (diperbuat dari kayu gaharu
     atau lidah buaya)
• • halia (Zingiber Officinale) sebesar ibu jari
• • isi kunyit terus sebesar ibu jari
• • tiga ulas bawang putih (Allium Sativum)
• • asam jawa (Tamarindus Indica) sebesar bola
     pingpong
• • secawan air kosong
• • periuk tembikar dan sudip



Cara membuatnya:
Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campurkan dengan perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga menggelegak.



Cara menyapu jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu, sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya pakailah bengkung supaya lebih kemas. 



Bengkung perlu diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara. Hal ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung.

0 comments:

Post a Comment